KUNCI PENTING DALAM PENGAMALAN THARIQAH
KUNCI PENTING
DALAM PENGAMALAN
THARIQAH
Ubes Nur Islam
Nabi Muhammad saw sebagai guru pertama umat Islam telah membuka
jalan (tariqah) yang pertama dan telah menyempurnakan tablighnya
(penyampaiannya). Maka dengan ini tariqah kaum muslimin keseluruhannya berpokok
pangkal dari tariqah Nabi Muhammad saw. Segala amal ibadah yang kita lakukan
atau tariqah yang kita amalkan adalah petunjuk yang kita terima dari guru-guru
kita. Mereka sebelumnya menerima dari para ulama hingga sanadnya sampai
kepada Rasulullah SAW.
Para ulama sebelumnya menerima dari para Tabi’ Tabi’in. Mereka pula telah menerima dari para tabi’in yang telah menerima dari sahabat yang langsung menerima dari Rasulullah saw. Rasulullah saw telah menerima segala ajaran pula dari Jibril as dan Jibril pula menerimanya dari Allah swt. Perlaksanaan sunnah Nabi Muhammad saw yang terkandung dalam Ilmu Fiqh harus dilaksanakan melalui tariqah. Tidak mencukupi hanya dari keterangan hadis–hadis Nabi Muhammad saw saja tanpa ada sahabat yang melihat cara perlaksanaan Nabi saw dalam sesuatu ibadah. Kemudian mereka pula menceritakan kembali caranya kepada murid-muridnya iaitu para tabi’in dan seterusnya.
Untuk mengamalkan AJARAN thoriqoh, seseorang harus punya tali
sanad yang tersambung sebagai kunci pembuka masuk thoriqoh. Oleh karena itu,
seseorang yang masuk thoriqoah harus memahami kunci-kunci penting dalam
thoriqah, yang meliputi hal berikut ini: Guru atau Mursyid, Murid atau Salik,
Talqin dan Bai’ah, dan Silsilah.
1. Guru atau Mursyid
Syeikh atau guru mempunyai kedudukan yang penting dalam Tariqah.
Ia juga sering dikenali dengan panggilan Mursyid (yang memberi petunjuk).
Seorang guru tidak sahaja merupakan seorang pemimpin yang mengawasi
murid-muridnya dalam kehidupan zahir dan pergaulan sehari-hari, agar tidak
menyimpang daripada ajaran-ajaran Islam dan terjerumus kepada perbuatan maksiat,
berbuat dosa besar atau kecil, yang segera harus ditegurinya. Akan tetapi
peranannya juga lebih dari itu, adalah sebagai pemimpin kerohanian yang tinggi
sekali kedudukannya dalam Tariqah. Ia merupakan perantaraan dalam ibadah antara
murid dan Tuhannya. Ini dikaitkan dengan peranan
Rasulullah saw didalam membimbing para sahabat menuju kepada penghambaan kepada
Allah.
Seorang syeikh dalam Tariqah membimbing muridnya dengan
memberikan pengajaran zikrullah melalui proses Bai’ah (perjanjian). Dan kedudukan
syeikh itu haruslah bersilsilah dengan para gurunya pula di mana dia
memperolehi ajaran Tariqah tersebut. Oleh kerana itu jabatan ini tidaklah dapat
dipangku oleh orang sembarangan walaupun ia mempunyai pengetahuan yang lengkap
tentang Tariqah. Di samping menerima ijazah dari guru sebelumnya sebagai
penerus pemimpin tariqah, seorang syeikh itu haruslah mempunyai kebersihan
rohani dan kehidupan bathin yang murni.
Berbagai status dan julukan nama yang tinggi diberikan kepada
para mursyid menurut kedudukannya, diantaranya ialah: a. Mursyid : Orang yang
memberikan petunjuk (Irsyad)Sheikh Nama yang sering dikaitkan sebagai guru,
ketua atau pemimpin, b. Murabbi : Orang yang mengajarkan ilmu pendidikan
(tarbiah) Maulana Gelaran ‘tuan’ guru yang sudah mencapai darjat tinggi, c.
Mua’allim : Guru yang memberikan ilmu Mudarris Pengajar atau pengurus satu
pengajian, d. Muaddib : Guru yang mengajar adab atau tatasusila.Manusia
dipanggil ‘adib’ dalam hubungan dengan Khaliq (Penciptanya), e. Ustaz : Gelaran
biasa bagi seorang guru. Ia lazim sekali digunakan dalam rantau sebelah sini,
terutama di Singapura, Malaysia dan Brunei. Tetapi di Indonesia sering ustaz
itu dipanggil kiyai, f. Nussak : Orang yang mengerjakan segala amal dan
perintah agama, g. Ubbad : Orang yang ahli dan ikhlas mengerjakan segala
ibadah, h. Imam : Pemimpin bukan sahaja dalam soal ibadah, bahkan juga dalam
sesuatu aliran keyakinan, dan i. Sadah : Bererti Penghulu. Gelaran ini juga
kadangkala diberikan kepada seorang guru sebagai penghormatan atau orang yang
dihormati dandiberi kuasa yang penuh.
2. Murid atau Salik
Pengikut sesuatu tariqah itu dinamakan murid, iaitu orang yang
menghendaki pengetahuan dalam segala amal ibadahnya. Murid itu terdiri dari
lelaki dan perempuan, tua mahupun muda. Dalam tariqah, seorang murid itu tidak
hanya berkewajipan mempelajari segala sesuatu yang diajarkan atau melakukan
segala sesuatu yang dilatihkan guru kepadanya yang merupakan pokok asal dari
ajaran-ajaran sesuatu Tariqah. Bahkan ia harus patuh dan beradab kepada syeikhnya,
dirinya sendiri mahupun terhadap saudara-saudaranya setariqah serta orang Islam
yang lain.
Segala sesuatu yang bertalian dengan itu, diperhatikan dengan
sungguh-sungguh oleh Mursyid sesuatu tariqah, kerana kepada keperibadian
murid-muridnya itulah bergantung yang terutama berhasil atau tidak perjalanan
suluk tariqah yang ditempuhnya. Pelajaran-pelajaran kesufian dan
latihan-latihan tariqah itu akan kurang faedahnya, jika ianya tidak meninggalkan perubahan budi
pekerti dan peningkatan amaliah murid-murid itu.
3. Talqin dan Bai’ah
Talqin dalam istilah Tasawuf adalah pengajaran dan peringatan
yang diberikan oleh seorang Mursyid kepada muridnya yang hendak mempelajari
beramal mengikut perjalanan tariqahnya. Manakala Bai’ah pula bererti perjanjian
(‘ahad) kesanggupan kesetiaan seorang murid di hadapan gurunya untuk mengamal
dan mengerjakan segala amalan dan kebajikan yang diperintahkan oleh gurunya.
Talqin dan bai’ah dalam perlaksanaan adalah sesuatu yang asas
dan menjadi pokok pengamalan dalam tariqah. Seorang murid sebelum mengamal,
terlebih dahulu harus mendapatkan Bai’ah dan berjanji dengan gurunya dengan
penuh kesetiaan. Dengan menjalani proses perjanjian ini, ia akan dapat memberi
kesan yang mendalam kepada orang yang menerima pengajaran itu dan dapat
menguatkan tali ikatan perguruan dan persaudaraan kukuh yang tidak akan putus antara seorang murid
dan gurunya juga meninggalkan pengertian yang sangat mendalam dan cara-cara
serta adab yang akan ditinggalkan dalam ingatankedua belah pihak.
Kebiasaannya, seorang Syeikh atau Mursyid akan memberikan
pengajaran Zikrullah kepada muridnya sebagai
amalan pokok dalam tariqah. Zikrullah yang diajarkan berupa kalimah Tauhid ‘La
Ilaha Illallah’ diajarkan kepada murid dengan cara pengamalan yang khusus,
terutama melafazkan kalimah ini dengan lafaz yang bersuara dan juga di dalam
hati.
Inilah cara yang pernah dipelajari dan diambil oleh Sayidina Abu
Bakar As Siddiq ra dan Sayidina Ali Bin Abi Thalib ra daripada Rasulullah saw
sehingga melaksanakan zikir dengan kalimah ini dapat meresap teguh sampai ke
dalam hati. Terdapat banyak hadis yang menerangkan peristiwa Nabi Muhammad saw
mengambil ‘ahad (perjanjian) pada waktu membai’atkan para sahabatnya, secara
perseorangan dan berjamaah.
Diriwayatkan oleh Ahmad dan At-Tabrani dari Syaddad Bin Aus bahawa Rasulullah
saw pernah mentalkin sahabat-sahabat beliau secara berjamaah dan perseorangan.
Pada suatu hari ketika kami berada dekat Nabi saw dan beliau bersabda, “Adakah
di antara kamu orang asing?” (yakni Ahli kitab). Maka saya menjawab: ‘Tidak
ada’. Lalu Rasulullah saw berkata, “Angkatlah tanganmu dan ucapkanlah La Ilaha
Illallah”. Lantas beliau menyambung, “Segala puji bagi Allah wahai Tuhanku,
Engkau telah mengutus aku dengan kalimah ini dan Engkau menjadikan dengan ucapannya kurnia syurga kepadaku dan
bahawa Engkau tidak sekali-kali memungkiri janji”. Kemudian beliau bertanya:
“Ketahuilah, gembiralah. Sesungguhnya Allah swt telah mengampuni kamu sekelian.”
Terdapat juga sesetengah kumpulan tariqah yang menjalankan proses perjanjian
dan talqin dengan cara yang berlainan iaitu dengan Wasiat, Ijazah dan Khirqah.
Ijazah dan Wasiatmerupakan kekuasaan seorang guru dalam bentuk surat keterangan
yang memberi kekuasaan kepada seorang murid untuk mengamalkan sesuatu atau selanjutnya
mengajarkan pengamalan tariqah itu kepada orang lain. Manakala Khirqah pula
berupa sepotong kain atau pakaian yang pada kebiasaannya dari bekas pakaian
seorang guru yang diberikan kepada murid atau memakainya sebagai mengikat
ikatan perguruan dalam pengamalan tariqah. Ini akan menghasilkan keberkahan dan
dianggap suci dan menjadi kenang-kenangan bagi seorang murid.
4. Silsilah
Silsilah bagi seorang Syeikh atau Mursyid merupakan sesuatu yang
penting untuk mengajar dan memimpin sesuatu tariqah. Mereka yang menggabung
diri kepada sesuatu tariqah, hendaklah mengetahui benar-benar nisbah atau
hubungan guru-gurunya yang sambung-menyambung antara satu sama lain sampai
kepada Nabi Muhammad saw. Ini dianggap perlu dan sesuatu
yang darurat kerana ia memberikan petunjuk kepada seorang murid. Bantuan
kerohanian yang diambil guru-gurunya itu harus benar, dan jika tidak
berhubungan sampai kepada Nabi Muhammad saw, maka bantuan itu dianggap terputus
dan tidak merupakan warisan daripada Nabi saw. Seorang murid dalam tariqah
hanya membuat perjanjian dengan gurunya dan tidak menerima Bai’ah, Talqin,
Ijazah, Wasiat atau Khirqah tanda kesanggupan dan kesetiaan, kecuali kepada
Mursyid yang mempunyai silsilah yang baik dan benar.
Silsilah itu merupakan hubungan nama-nama yang panjang yang satu
bertalian dengan yang lain, dari kedudukan Mursyid hingga kepada Rasulullah
saw. Barangsiapa yang tidak ada hubungan dengan Nabi sawia dianggap terputus
limpahan cahaya dan tidak menjadi waris Rasulullah saw. Orang yang demikian tidak
dibolehkan mengambil Bai’ah daripadanya dan ia tidak boleh memberi atau diberi
Ijazah. Barangsiapa yang mengamalkan tariqah tetapi tidak mengenal nenek
moyangnya (silsilah) dari para Masyaikh, ia ditolak dan tidak diakui.
Setiap orang yang tidak mempunyai syeikh (Mursyid) yang memberi bimbingan
kepada jalan keluar dari sifat sifat tercela, maka dia dianggap maksiat kepada
Allah dan RasulNya kerana dia tidak dapat petunjuk mengenai jalan mengubatinya.
Walaupun ia mengamalkan segala perkara yang bersifat aktif ataupun menghafal
seribu buku tidaklah bermanfaat dengan tidak berguru atau mempunyai Syeikh.
(Ubes dari berbagai sumber)



Comments
Post a Comment